Hishamuddin - Pemimpin Luar Turut Keliru Istilah Jihad Pas

Kekeliruan ke atas seruan jihad yang dilaungkan Pas bukan sahaja terbit di kalangan masyarakat di negara ini tetapi turut menjadi tandatanya oleh masyarakat dan pemimpin-pemimpin luar. 
 
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn berkata akibat dari kekeliruan ini pemimpin-pemimpin muda Jepun yang mengikuti perkembangan serangan terhadap Amerika Syarikat oleh puak pengganas turut ingin mengetahui dengan lebih jelas lagi apa yang dimaksudkan dengan jihad yang dilaungkan oleh pihak Pas itu.  
 
“ Saya telah menjelaskan kepada mereka bahawa pendirian pemimpin-pemimpin Pas yang menyeru agar berjihad bersama-sama puak Taliban menentang Amerika Syarikat sebagai tidak munasabah kerana ia dibuat untuk kepentingan politik mereka.  
 
“ Walaupun saya sendiri tidak dapat menjelaskan maksud di sebalik seruan jihad Pas itu, UMNO dan kerajaan Malaysia khususnya mengambil pendirian bahawa jihad yang sesuai di negara ini dijalankan dalam suasana murni seperti dengan mengadakan bantuan melalui tabung ehsan pelarian Afghanistan,” katanya lagi.  
 
Beliau yang baru pulang dari lawatan kerja di Jepun yang berakhir 16 Oktober lalu berkata pendirian kerajaan dan UMNO itu telah dijelaskan kepada para pemimpin muda Jepun dan mereka menerimanya dengan baik. 
 
“ Apa yang menarik ekoran dari kejadian yang menimpa Amerika Syarikat dan serangan ke atas Afghanistan itu pemimpin-pemimpin muda Jepun turut ingin mempelajari dengan lebih mendalam berkaitan dengan Islam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.  
 
Sementara itu ketika mengulas mengenai tabung ehsan yang dilancarkan oleh Pemuda UMNO Hishamuddin berkata, sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan dari pelbagai peringkat. 
 
Terbaru menurutnya pihak istana negeri Johor tidak ketinggalan menunjukkan sokongan meringankan penderitaan pelarian Afghan dengan sumbangan pakaian dan barang-barang keperluan lain. 
 
“ Ini menunjukkan tindakan (jihad) yang diambil oleh kerajaan dan UMNO sangat rasional dan mengetepikan retorik kosong seperti dilakukan Pas yang melaungkan pengertian jihad sempit yang jelas merugikan negara dan Islam itu sendiri,” katanya. 
 
Menurutnya lagi usaha-usaha akan dijalankan oleh pergerakan itu kepada siswa-siswi yang berada di luar negara bagi menerangkan pengertian jihad kerajaan dan UMNO tanpa sedikitpun berhasrat untuk mengelirukan mereka seperti yang dilakukan oleh Pas. 
 
“Saya ingin menasihatkan Pas agar mereka cerminkan diri dan melakukan muhasabah diri sebelum melaung-laungkan seruan jihad meminta pemuda-pemuda di negara ini agar bangkit untuk berperang dalam keadaan yang tidak berkemampuan dari pelbagai segi,” katanya. 
 
Sementara itu menurut Datuk Hishamuddin lagi, usaha-usaha Pemuda UMNO mengumpulkan lebih banyak sumbangan dan bantuan dari orang ramai terhadap tabung ehsan akan turut membabitkan usaha bersama Pemuda Barisan Nasional yang mungkin akan diterajui oleh Datuk Ong Tee Keat.  
 
“Saya berharap Datuk Ong Tee Keat yang mengetuai BN dan Datuk Aziz Sheikh Fadzir yang menerajui usaha-usaha Pemuda UMNO dapat memperhebat dan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan saluran dan bantuan yang hendak disampaikan bukan setakat satu aktiviti sahaja tetapi berterusan untuk enam bulan yang akan datang,” katanya.  
 
Katanya dari lebih RM600,000 yang disumbangkan, jumlah terkini berjaya dikumpul ialah sebanyak RM460,958.75 tidak termasuk apa yang dijanjikan dan jaminan yang berjumlah RM200,000. 
 
Bukan itu sahaja malah setakat ini lebih 50 orang di kalangan pasukan perubatan yang terdiri daripada doktor dan sukarelawan yang telah mendaftar diri mereka.  
 
Tarikh penghantaran menurut Ketua Pemuda UMNO itu ialah pada 15 November dengan pihak TUDM akan menggunakan 2 pesawat Hercules C-130 i yang mampu memuatkan 10 tan barangan dan 32 penumpang.  
 
Mengulas mengenai liputan CNN terhadap surat yang datangnya dari Malaysia yang didakwa mengandungi kuman Anthraks, Ketua Pemuda UMNO itu berkata ianya sebagai berat sebelah dan tidak bertanggungjawab. 
 
“Dalam keadaan mereka hendak menyekat dan menapis apa yang dilaporkan oleh Al Jazeera, CNN tidak teragak-agak untuk mengeluarkan liputan yang ada berhubung kait dengan Malaysia yang bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap negara ini.  
 
“ Liputan yang digembar-gemburkan itu pada hari ini didapati tidak betul dan apabila kerajaan Malaysia telah menjelaskan berkenaan hal sebenar, CNN tidak pula berusaha untuk membetulkan semula liputan salah itu kepada dunia, ini amat mengecewakan,” ujarnya dalam nada kesal. 
 
Pendekatan tidak bertanggungjawab dan berat sebelah ini menurutnya lagi akan menyebabkan timbul perasaan marah dan benci di kalangan rakyat negara ini dan umat Islam di dunia terhadap barat dan Amerika Syarikat.